Maksud NPK pada baja, elemen yang terdapat di dalam kandungan baja iaitu, (N) ialah Nitrogen, (P) Phosphorus dan (K) mewakili Kalium ataupun Potasium.

Assalamualaikum wbt. Hari ini kita sudahpun masuk Ramadhan ke-15. Alhamdulillah syukur pada Allah. Dan pada hari ini juga saya ada sedikit kelapangan untuk blogkan mengenai maksud npk yang sering kita lihat pada bungkusan atau guni baja.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan NPK Pada Baja?

Ramai orang termasuk saya sendiri tidak begitu mahir dengan singkatan-singkatan ini, dan yang sering menjadi masalah kepada saya sendiri ialah, bila hendak beli baja, pasti akan ternampak tulisan NPK. Dahulunya saya sememangnya tidak mengetahui apa itu NPK, tetapi bila sudah pelajari sedikit sebanyak ilmu mengenai pertanian, maka saya sudahpun boleh berkongsi kepada rakan-rakan yang lain maksud NPK.

NPK ialah ringkasan bagi elemen berikut di dalam pembungkusan baja:

  1. (N) Nitrogen
  2. (P) Phosphorus
  3. (K) Kalium atau lebih ramai orang sebut Potasium

Semasa kita beli apa juga jenis baja, kita perlu kenal pasti kandungannya terlebih dahulu kerana di dalam pasaran terdapat ribuan jenis baja untuk tanaman. Jika tersilap beli, pastinya tanaman kita akan mengalami masalah tumbesaran seperti:

  • Pokok bantut
  • Daun kuning
  • Akar rosak
  • Batang besar tapi tak berbuah

dan banyak lagi masalah yang pasti akan timbul sekiranya kita tidak pilih baja yang betul untuk tanaman. Jadi, sedikit sebanyak saya akan kongsikan kepada anda mengenai baja NPK ini.

Maksud NPK Baja

Maksud NPK Baja

Sejarah NPK Baja

Sebelum kita pergi lebih jauh mengenai NPK, saya sarankan untuk anda ketahui dari mana asalnya huruf dan nombor NPK yang terdapat di dalam baja. Seorang ahli saintis dari negara Jerman, Justus Von Liebeg ialah insan yang memperkenalkan NPK satu ketika dahulu.

Beliau juga menyatakan bahawa, asas kepada tanaman yang subur bergantung kepada kadar Nitrogen. Phosphorus dan juga Kalium (Potasium). Ketiga-tiga elemen ini adalah sangat penting bagi memastikan kesuburan setiap jenis tanaman.

Justus juga menyatakan bahawa, Nitrogen bertindak untuk menambahbaik daun (green foliage), manakala Phosphorus pula bertindak untuk menguatkan sistem sistem akar (strong root) dan Kalium bagi menambah pembesaran tanaman dengan baik seperti batang dan juga ranting (healthy growth).

Bagaimana Nisbah NPK Dikira Dan Fungsinya

Anda bukan sekadar melihat tulisan NPK pada bungkusan baja, sebaliknya juga terkandung Nisbah khas yang buatkan kita pening, apa itu 16:16:16  atau 15:15:15 atau 12:12:17 dan ada banyak lagi.

Sebagai contoh, saya beli baja NPK 16:16:16 untuk letakkan pada tanaman, tetapi apa maksudnya dengan 16:16:16 berikut? Haha..

Baja yang saya beli terkandung perkara berikut:

  1. Nitrogen 16%
  2. Phosphorus 16%
  3. Kalium 16%

Jumlah kesemua nutrien yang terdapat di dalam baja ialah 48%. Persoalannya, mana pergi lagi 52% untuk genapkan kepada 100%?

Baik, di dalam setiap bungkusan baja, terdapat juga elemen lain yang disebut lengai seperti tanah dan juga pasir. Elemen ini yang menggenapkan kuantiti kepada 100% dari baja. Yang diserap oleh pokok, ialah sumber NPK, Magnesium (Mg), Kalsium (Ca), Boron (B), Manganese (Mn), di mana sumber ini boleh di dapati dari Baja Dolomite.

Entri Lain:


Keterangan Unsur Nitrogen (N)

Nitrogen (N), merupakan unsur yang bertindak untuk pembesaran daun tumbuhan dan tanaman. Nitrogen terdapat di dalam ruang udara dan juga di dalam tanah. Kesemua tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang berdaun hijau menggunakan Nitrogen.

Klorofil adalah bahan yang terkandung di dalam daun hijau berfungsi untuk tujuan Fotosintesis membina struktur daun dari pengambilan Nitrogen. Walaupun kandungan Nitrogen tinggi di dalam udara, tumbuhan tidak dapat melakukan serapan melalui udara, sebaliknya tumbuhan serap Nitrogen yang dibekal melalui tanah iaitu baja yang mengandungi unsur (N).

Kesan Kekurangan Nitrogen (N)

  • Tumbuhan yang kekurangan Nitrogen (N), akan mengalami masalah daun berwarna kuning bermula dari bahagian pucuk dan perlahan-lahan akan kuning ke seluruh daun.
  • Tumbuhan yang kekurangan Nitrogen juga, akan terbantut dalam proses tumbesaran.

Kesan Terlebih Nitrogen (N)

  • Tumbuhan yang mempunyai Nitrogen yang tinggi, akan mengakibatkan daun akan menjadi begitu banyak dan berat sehingga menyebabkan batang tanaman tidak stabil dan akhirnya patah.

Keterangan Unsur Phosphorus (P)

Phosphorus (P), merupakan unsur yang bertindak untuk pembesaran akar bagi setiap tumbuhan. Phosphorus dapat menyihatkan sistem akar tanaman dan mencambahkan akar kepada keadaan yang lebih baik. Akar yang subur mampu lakukan serapan segala nutrien yang terkandung di dalam tanah melalui sel kutikel yang aktif pada hujung akar.

Phosphorus juga berperanan untuk menggalak tumbuhan berbunga apabila tiba waktunya atau pada peringkat reproduktif. Peranan Phosphorus sememangnya signifikan di dalam penghasilan bunga dan buah dan ianya juga hasil dari bahan yang mereput seperti hidupan dan tanaman yang telah mati.

Kesan Kekurangan Phosphorus (P)

  • Daun pada tumbuhan atau tanaman akan kelihatan kekuningan dan tidak segar.
  • Tanaman kurang berbunga

Keterangan Unsur Kalium (K) – Potasium

Kalium (K), atau lebih dikenali sebagai Potasium, amat penting untuk tumbesaran setiap jenis tanaman. Kalium juga membantu dalam perkembangan keseluruhan pokok termasuk bunga dan buah.

Unsur Kalium (K), adalah kunci kepada pembentukan Clorophyl dalam daun. Baja yang terkandung unsur Kalium kebiasaannya diberikan kepada tanaman yang melepasi peringkat Vegetatif.

Kesan Kekurangan Kalium (K)

  • Kekurangan Kalium akan menyebabkan bunga serta buah yang bersaiz kecil atau terbantut.
  • Tumbuhan akan kelihatan tidak sihat dan lemah.

Kebaikan Kalium (K)

  • Kalium dapat membantu tanaman melawan pelbagai jenis penyakit.
  • Mempercepatkan proses pembesaran tanaman.

Setakat itu sahaja perkongsian pada petang Ramadhan ke15 ini. InsyaAllah ada rezeki dan kelapangan, saya akan kongsikan banyak lagi tips serta info menarik mengenai dunia penanaman khusus untuk ilmu kita di masa lapang.

Salam hormat buat semua. Assalammualaikum wbt.